fb fb fb fb fb

PRN Johor: ceramah dan kempen secara fizikal dibenarkan - SPR


KUALA LUMPUR, 19 Februari
- Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dibenarkan  sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Menurut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.

“Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

"Sebarang bentuk hiburan ketika berkempen tidak dibenarkan manakala makanan yang disediakan hendaklah dalam bentuk 'pack food' (makanan berbungkus),"menurut SOP itu.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar. 

Mengenai SOP hari pengundian, pengundi wajib memakai pelitup muka berganda dan pengundi bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas perlu diasingkan serta-merta daripada pengundi lain dan mengundi di tempat khas sama ada khemah, bilik atau ruang khas. 

"Peserta bergejala tidak dibenarkan masuk dan semua yang hadir perlu mengimbas QR Kod MySejahtera atau mencatat kehadiran termasuk nama, nombor telefon, gejala dan masa, di dalam buku disediakan.

“Selepas selesai mengundi, pengundi bergejala akan diuruskan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas untuk tindakan lanjut termasuk membuat ujian kendiri Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag),” menurut SOP itu. 

SOP itu juga menetapkan pengundi yang disahkan positif COVID-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan untuk mengundi bagi mengelakkan jangkitan dan menyebabkan penularan.

Bagi pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS), mereka perlu memohon Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu. 


Media Baharu