fb fb fb fb fb

PRN: BN tanding 45 peratus kerusi DUN, PH 55 peratus

(FOTO HIASAN)

CHUKAI, 1 Julai - Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / FOTO BERNAMA)

“Ini berdasarkan kepada kerusi DUN yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH...sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH.

“Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Tambah Ahmad Zahid, setiap calon akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, selain penelitian yang akan dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

“Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon.

“Apabila senarai pendek telah dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Mengenai kriteria pemilihan calon, Ahmad Zahid berkata golongan muda menjadi antara elemen utama dalam pemilihan calon bagi membuktikan bahawa kerajaan BN-PH mendengar denyut nadi pengundi muda.

Media Baharu