fb fb fb fb fb

PRN: BN pertimbang rakan sekutu guna logo dacing

(Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Majlis
Hari Raya Aidilfitri ATM di Wisma Perwira)

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Barisan Nasional (BN) sedang mempertimbang hasrat rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, menggunakan logo dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), yang akan datang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu merupakan antara strategi yang diyakini mampu memberi impak positif kepada parti terlibat.

"BN telah memutuskan di Peringkat Dewan Tertinggi, bahawa kita akan menggunakan logo kita sendiri (dacing) di 6 negeri.

"Apa yang sedang kita pertimbangkan sekarang ada rakan sekutu yang hendak menggunakan lambang kita di negeri-negeri tertentu kerana ada strategi pilihan raya yang boleh memberikan sedikit impak yang lebih baik.

"Tetapi bagi BN kita telahpun menyatakan dan memutuskan bahawa dalam PRN ini kita akan menggunakan lambang sendiri dan akan berkempen di atas pentas kita, untuk kita pastikan supaya PRN akan menjadi petunjuk kepada kita sejauh mana sokongan dan tidak sokongan pengundi kepada BN," katanya.

(Datuk Seri Mohamad Hasan)

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, di sini pada Rabu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu BN akan menggunakan lambang parti itu untuk berdepan pilihan raya negeri di enam negeri nanti.

Parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan bagi calon masing-masing.

Media Baharu