fb fb fb fb fb

PRN: 80 peratus agihan kerusi PH-BN selesai

(Dr Asyraf Wajdi Dusuki/BERNAMA)

KOTA BHARU, 15 April- Proses agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah 80% selesai. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, baki 20% lagi masih memerlukan perincian sebelum dimuktamadkan.

Katanya, setakat ini, proses perundingan berkenaan berlangsung dengan cukup baik.

"Secara umumnya, kita nampak tiada masalah besar dalam perundingan, nampak suasananya cukup positif sekali.

"Ada lima parameter yang ditetapkan Jawatankuasa Perundingan, cuma parameter ini saya tidak boleh dedahkan. Yang paling penting parameter inilah yang dijadikan asas garis panduan untuk negeri-negeri mengadakan perundingan," katanya pada sidang media selepas majlis makan colek bersama media di sini, malam tadi.
 
Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata pihaknya juga memberi peluang kepada pimpinan PH dan BN di peringkat negeri masing-masing untuk memilih calon yang layak bertanding pada PRN kelak.
 
Sementara itu, beliau menyifatkan adalah tidak adil menjadikan PRN membabitkan enam negeri tersebut sebagai pengukur kepada prestasi Kerajaan Perpaduan kerana baginya amat mustahil untuk kerajaan menyelesaikan semua perkara dalam tempoh beberapa bulan mentadbir negara.

Bagaimanapun, jelasnya, PRN kelak perlu dijadikan medan bagi melihat perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan.

"Bagi saya, kita bersifat realistik, yang penting PRN ini sebagai pentas pertama untuk kita, bukan sahaja menguji, tetapi kita hendak melihat apakah perkara-perkara yang perlu ditambah baik sebab paling penting kerajaan ini perlu stabil untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kestabilan yang ada," katanya.

(Foto fail)

Media Baharu