fb fb fb fb fb

Jualan Khas Syawal Madani: FAMA buka 103 pasar tani di seluruh negara

PETALING JAYA, 15 April- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sejumlah 103 pasar tani di seluruh negara bagi melaksanakan Jualan Khas Syawal Madani mulai hari ini.

Ia merupakan usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pasar tani itu akan beroperasi selama enam hari hingga 20 April dengan harga barangan yang berpatutan.

"Memang saya lihat ia lebih murah dari pasar di luar sana. Bukan tujuan kita untuk bersaing dengan peniaga di pasar tetapi untuk memberi kemudahan khasnya kepada golongan B40 dan M40, sederhana dan miskin untuk dapat membeli barang dengan harga yang lebih murah.


(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu)

Beliau berkata, FAMA menyasarkan jualan sebanyak RM13 juta menerusi Jualan Khas Syawal Madani tersebut.

"FAMA seperti yang saya sebut tadi, saya hendak FAMA tidak rugi. Tapi bukanlah dasarnya mencipta keuntungan seperti pasar yang lain. FAMA badan berkanun di bawah kerajaan, kalau FAMA tidak rugi, maka ia sudah cukup untuk kita buat servis kepada rakyat.

"Ini arahan termasuklah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita lihat secara umumnya, ada yang kurang 10 peratus, ada yang kurangkan banyak harga. Umumnya lebih kurang 30 peratus berbanding dengan pasar di luar sana", katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Pelancaran Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Tapak Pasar Tani, Seksyen 6, Kelana Jaya, Selangor.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali dan pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.

Pada majlis sama, Datuk Seri Mohamad Sabu juga menyampaikan sumbangan kepada 40 orang asnaf dan mengagihkan aneka kerepek kepada pengunjung serta peniaga pasar tani.

Media Baharu