fb fb fb fb fb

Prihatin soal pendidikan, Yayasan Taqwa taja asnaf dalam dan luar negara

 

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Yayasan Taqwa memperuntukkan RM148,000 bagi dua program tajaan untuk pelajar asnaf 
dalam dan luar negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan berkata, untuk tahun ini, kolaborasi di bawah pengendalian Kolej Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Education itu memfokuskan pendidikan dari sudut teknologi maklumat.

"Penajaan ini kita tengok kertas kerja yang diberi, jika ia bersesuaian dengan dasar kita contohnya tahun ini keperluan tinggi untuk teknologi maklumat, jadi kita pilih menaja bidang teknologi maklumat, kita tak mampu nak taja semua. Bilangannya bergantung kepada kemampuan kewangan, kita juga bergantung kepada sumbangan MAIWP", katanya pada Majlis Apresiasi Tajaan Pembiayaan Pendidikan oleh Yayasan Taqwa MAIWP di sini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM100,000 digunakan untuk membiayai Program Hebat Baca Bahasa secara dalam talian yang melibatkan 12 keluarga.

"Ia menyasarkan kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun yang tidak boleh membaca dan setiap keluarga ini akan diberikan sebuah komputer riba beserta pakej internet jalur lebar, set meja belajar, alat tulis dan buku. Program Hebat Baca Bahasa ini merupakan program perintis Yayasan Taqwa dalam menambah baik celik huruf  dalam kalangan asnaf dan B40", katanya. 

Selain itu katanya, turut ditaja ialah 24 orang pelajar antarabangsa warganegara Myanmar beragama Islam yang sedang mengikuti Diploma Teknologi Maklumat di IIUM.

Media Baharu