KUALA LUMPUR, 18 Disember- Prestasi perdagangan Malaysia terus catat pertumbuhan konsisten bagi 11 bulan pertama, tahun ini.
Menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini, untuk tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan berkembang 8.7 peratus kepada lebih RM2.6 trilion ringgit berbanding tempoh sama pada tahun 2023.
"Nilai eksport meningkat 4.7 peratus kepada RM1.369 trilion manakala import naik 13.3 peratus kepada RM1.25 trilion.
Ini sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM117.94 bilion.
Prestasi ini meletakkan negara di landasan tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi perdagangan," kata kenyataan itu.
Sementara itu, perdagangan bulan lepas merekodkan pertumbuhan 2.9 peratus tahun ke tahun, kepada RM237.85 bilion.
Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, naik 4.1 peratus kepada 126.57 bilion disokong pertumbuhan pesat dalam sektor utama, khasnya barangan perkilangan dan keluaran pertanian.
Import bertambah 1.6 peratus kepada RM111.28 bilion.
Lebihan dagangan kembali pulih dengan kenaikan dua angka kepada RM15.29 bilion untuk 55 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.