KUALA LUMPUR, 18 Disember- Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara lain berdasarkan tiga prinsip utama melibatkan keutamaan pembangunan luar biasa, prinsip jiran yang baik dan pemikiran melangkaui perdagangan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata fokus pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara perlu beralih kepada pemindahan teknologi dan inovasi tempatan.
"Untuk keluar dari status negara berpendapatan pertengahan ke negara berpendapatan tinggi memerlukan produktiviti yang lebih tinggi dan produktiviti hanya dapat meningkat dengan inovasi dan teknologi. Itulah sebabnya ‘perangkap pendapatan pertengahan’ juga disebut sebagai ‘perangkap teknologi pertengahan'.
"Bagi negara berpopulasi kecil seperti Malaysia, ini bermaksud pertukaran bakat, pengetahuan dan teknologi adalah penting jika kita mahu berpeluang mencipta kejayaan", katanya.
Jelas beliau, kementeriannya akan memfokuskan kerjasama teknologi meliputi harta intelek,penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pemilikan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tahun depan.
Beliau berucap dalam Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di ibu negara.
Ia turut meraikan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang terus menjadi rakan dagang utama ASEAN serta pemacu pembangunan ekonomi serantau.