fb fb fb fb fb

Presiden Kelab Media Pahang meninggal dunia

(FB Wan Rosdy bin Wan Ismail)

KUANTAN, 28 Disember- Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin, 63, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pukul 11.40 malam tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Salma Abdul Samad, 57, empat orang anak dan enam cucu.

Ahad lalu, Allahyarham telah dimasukkan ke Coronary Care Unit (CCU), Jabatan Kardiologi HTAA, selepas mengalami sakit dada.

Bagaimanapun, terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang semakin kritikal selepas dikatakan mengalami serangan jantung kali pertama pada 2 Disember lalu.

Jenazah Allahyarham Nik Naizi yang disolatkan di Masjid Makmur Indera Mahkota 2, Kuantan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Jalan Haji Ahmad, Kuantan pukul 7.19 pagi tadi.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan dan jurugambar akhbar The Star pada 1 April 1982 dan telah bersara wajib pada September 2019.

Selepas itu, Allahyarham menyambung kontraknya di akhbar sama sehingga Mac 2020 dan kini berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Fikrah Pahang.

(Allahyarham Datuk Nik Naizi Husin)

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut berkongsi khabar duka itu di laman sosial Facebook miliknya.

"Mendapat perkhabaran duka awal pagi tadi dengan pemergian Datuk Nik Naizi Husin telah kembali ke rahmatullah.

"Allahyarham merupakan Presiden Kelab Media Pahang yang sangat aktif dan kami sering bersua dalam majlis dan program yang saya hadiri.

"Saya doakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Semoga ahli keluarga tabah dan diberikan kekuatan mengharungi dugaan ini. Al-Fatihah," tulis beliau.

Media Baharu