SUNGAI PETANI, 20 Ogos - Sebuah premis jual beli sawit di sini dikenakan tindakan selepas dikesan menipu menggunakan alat timbang kenderaan.
Operasi bersepadu itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM).
KPDN Kedah dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan diketuai Pengarah Negeri, Muhammad Nizam Jamaludin, melibatkan tiga premis di Chengai Mukim, Taman Petani Jaya dan Kuala Muda.
Hasil pemeriksaan mendapati alat timbang kenderaan di salah sebuah premis tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Penggunaan alat timbang tidak sah itu menyebabkan kadar timbangan sawit menjadi tidak tepat sekali gus merugikan pengusaha sawit.
Alat timbang berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71) serta Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Sementara itu, alat timbang di dua lagi premis masih dalam tempoh tentusah dan tidak melebihi had selisih yang dibenarkan.