fb fb fb fb fb

Prabowo seru perkukuh kerjasama dalam industri sawit

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menegaskan industri kelapa sawit adalah komoditi yang sangat penting dan menjadi salah satu sektor strategik yang perlu terus diperkukuhkan oleh Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata kedua-dua negara yang merupakan pengeluar terbesar dunia, berperanan besar dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap kelapa sawit.

"Kelapa sawit ternyata merupakan komoditi yang sangat penting. Setiap kali saya mengunjungi negara-negara seperti Mesir, India dan Pakistan, mereka sentiasa menyebut betapa perlunya kelapa sawit. Jadi, saya percaya kita dapat melakukan banyak perkara baik dalam sektor ini," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dua hala di ibu negara hari ini.

Prabowo juga menekankan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam industri tersebut adalah kunci untuk memastikan kemampanan dan pertumbuhan sektor kelapa sawit yang berterusan.

Menurutnya, dengan sokongan yang berterusan antara Malaysia dan Indonesia, industri kelapa sawit akan terus berkembang sekali gus memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara serta memenuhi keperluan pasaran global.

Sidang media tersebut diadakan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan.

SITI AISHAH MD ISA