SUNGAI PETANI, 7 Jun- Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini memberi fokus kepada usaha melibatkan masyarakat luar bandar dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan.
Langkah tersebut sebagai usaha menambah pengeluaran makanan dalam negara.
Ketika ini, program PPP lebih bertumpu kepada pemberian bantuan mesin, peralatan, bahan mentah serta bimbingan untuk masyarakat B40 luar bandar menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata bagi masyarakat luar bandar yang sedang melaksanakan bidang pertanian, perikanan dan perternakan, PPP dilihat mampu mengembangkan lagi aktiviti sedia ada ke arah penghasilan dalam skala yang besar.
Ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan serta meningkatkan pengeluaran bekalan makanan untuk negara.
"Kita salah satu agensi yang bertanggungjawab kepada Foodbank, jadi dari segi tersebut kita akan cuba bantu kalau ada usahawan-usahawan kecil juga kita akan turut bantu khususnya B40, M40...kalau boleh kita nak dapat sampai T20, yang ini sasaran kita," katanya.
(Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad)
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Pendampingan dan Penyampaian WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda di Kota Kuala Muda.
Sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk program tersebut pada tahun ini.
Pada program berkenaan, KPLB menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyerahkan Warung Desa@KPLB dan peralatan untuk perniagaan kepada 21 orang usahawan yang layak melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM200,000.
Sehingga Jun, seramai 135 orang telah menerima Warung Desa di seluruh negara daripada jumlah keseluruhan 950 peserta yang disasarkan tahun ini.