fb fb fb fb fb

KEDA peruntuk lebih RM316,000 bantu pelajar SPM luar bandar

Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tengah) menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Desa KEDA SPM 2024 di Alor Setar.

ALOR SETAR, 18 Mei- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM316,500 menerusi tiga program utama bagi membantu kecemerlangan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM46,500 disalurkan untuk Program Tuisyen Pintar@KEDA, RM60,000 bagi Program 100 Permata Negeri Kedah, dan RM210,000 untuk Program Motivasi dan Kecemerlangan Pendidikan.

Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Program Tuisyen Pintar@KEDA menyediakan kelas bimbingan tambahan secara percuma melibatkan 113 sekolah luar bandar, manakala Program 100 Permata melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi mengenal pasti 100 pelajar berpotensi untuk dipantau prestasi secara lebih khusus.

Sementara itu, bagi Program Motivasi dan Kecemerlangan Pendidikan, sebanyak 70 buah sekolah menerima peruntukan RM3,000 setahun bagi tujuan motivasi akademik.

"Peranan KEDA bukan hanya kita melihat soal kemiskinan, perumahan, usahawan tetapi termasuk untuk pendidikan anak-anak. Saya yakin KEDA boleh pertingkatkan jumlah kecemerlangan anak-anak pelajar kita khususnya dalam SPM," kata Datuk Seri Jamil Khir ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Desa KEDA SPM 2024 di Alor Setar.

Majlis berkenaan bertujuan menghargai usaha dan pencapaian cemerlang anak-anak desa KEDA dalam SPM 2024, serta memberi suntikan motivasi kepada generasi pelapis.

Seramai 35 pelajar desa KEDA berjaya memperoleh keputusan cemerlang antara 5A hingga 11A, peningkatan 3.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Salah seorang pelajar cemerlang, Muhammad Azizi Anuar yang memperoleh 11A dalam SPM 2024 menyifatkan inisiatif KEDA sebagai sangat bermanfaat dan wajar diteruskan kerana banyak memberi manfaat kepada pelajar luar bandar.

"Terima kasih banyak kepada pihak KEDA. Kami para pelajar memang sangat terhutang budi dengan KEDA, tak tahu macam mana nak balas. Mudah-mudahan Allah Taala saja yang mampu membalas segala jasa baik, bukan saja daripada KEDA, tapi juga semua pihak yang membantu bersama," kata Muhammad Azizi.

Seorang lagi pelajar, Nur Batrisya Mohd Zuki yang mendapat 9A, turut menyatakan penghargaan terhadap penganjuran majlis apresiasi itu yang disifatkan memberi semangat dan rasa dihargai, terutama apabila mereka tidak berpeluang menerima pengiktirafan secara rasmi di peringkat sekolah.

"Bila KEDA anjurkan majlis apresiasi macam ni, rasa dihargai juga… seronok sebab walaupun tahun ni tak dapat naik pentas di sekolah, sekurang-kurangnya dapat sertai majlis yang KEDA adakan," jelas Nur Batrisya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE