KUALA LUMPUR, 19 November- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) terus memainkan peranan dalam pembangunan belia khususnya aspek kepimpinan dan pembentukkan sahsiah diri.
Menurut Yang di Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara, Tan Sri Dr Johari Abdul, penyertaan anak muda dalam badan beruniform ini amat penting sebagai latihan psikologi dan fizikal.
Sekali gus dapat menghindari mereka daripada terjebak dengan masalah sosial bersedia dengan cabaran yang akan datang .
"Sebab dalam pengakap kita ada latihan latihan yang menjurus ke arah melonjakkan individu itu sebagai pemimpin, bukan sahaja pemimpin politik tetapi dalam pemimpin industri, pemimpin dalam pendidikan, pemimpin dan juga perniagaan.
"Jadi anak-anak kita yang akan datang ini bukan sahaja bijak pintar daripada segi ilmu vokasional ataupun ilmu akademiknya, tetapi dia seorang yang berhormat, disiplin dan bangga dengan negara dia,"katanya.
Dengan jumlah keahlian kira-kira 300,000 ahli, PPM terus menyusun pelbagai strategi dan perancangan bagi memastikan sasaran 500,000 ahli itu dapat dicapai pada tahun 2025.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, buat julung kalinya PPM akan mengadakan Majlis Makan Amal pada 1 Disember ini dengan tema 'Bersama-Sama Kita Memimpin' yang akan dihadiri pimpinan tertinggi negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual berita RTM selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Kota Media Angkasapuri.