fb fb fb fb fb

MYAirline: PERKESO terima 533 permohonan faedah SIP, 277 telah diluluskan

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar

PUTRAJAYA, 19 November- Seramai 533 pekerja syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat semalam.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata daripada jumlah itu sebanyak 277 permohonan telah diluluskan PERKESO.

Jelasnya, PERKESO sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang melibatkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

"Untuk setakat ini kita semua tahu kalau mereka sememangnya telah pun diberhentikan maka mereka boleh mendapat faedah daripada PERKESO.

“Pihak PERKESO juga telah buat apa yang patut dilakukandan dalam proses untuk mengetahui sama ada pekerja terjejas telah menerima surat pemberhentian kerja dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas hadir program PERKESO Run & Ride 2023 di sini hari ini.

1911 SIVAKUMAR PERKESO SIP 2

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bersama para peserta program PERKESO Run & Ride 2023 di sini hari ini.

SIP bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja yang hilang pekerjaan sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu.

Sebelum ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober sehingga diberitahu kelak antara lain disebabkan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

ZEHRA BINTI ZAMBRI