fb fb fb fb fb

Banjir Perak: 23 keluarga masih berada di PPS

Foto Hiasan

IPOH, 19 November- Sebanyak 83 orang daripada 23 keluarga terjejas banjir di Kinta dan Kerian masih berada di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pagi ini berbanding 84 orang daripada 24 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan seorang mangsa di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A di Kinta telah pulang ke kediamannya menjadikan hanya lapan orang daripada satu keluarga berada di PPS itu. 

"Di Kerian, 18 orang daripada tiga keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala 57 orang daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan kesemua 12 daerah di negeri ini dijangka berlaku hujan pada sebelah petang dan malam. 

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan bahawa Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras berjaga-jaga dengan merekodkan bacaan 3.15 meter.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan bahawa di Kerian, laluan FT 147 Jalan Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya kepada kenderaan ringan kerana pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera berikutan keadaan bahu jalan yang runtuh.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI