KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Hubungan antara politik dan ekonomi dilihat saling melengkapi antara satu sama lain, sekali gus menjadi hala tuju penting ke arah pertumbuhan negara yang mampan.
Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr. Sivamuragan Pandian berkata kedua-dua aspek itu perlu bergerak seiring sebagai komponen yang saling memperkukuh demi mencapai kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Profesor Datuk Dr. Sivamuragan Pandian/RTM
“Ekonomi dan politik perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya saling bergantung dan melengkapi. Kedua-dua aspek ini mesti digerakkan bersama agar destinasi yang diimpikan, kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Beliau menegaskan kestabilan politik merupakan asas kepada pelaksanaan dasar yang konsisten dan berkesan.
Jelasnya, keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara menjadi titik pertemuan antara politik dan ekonomi, manakala integriti pula berperanan sebagai tonggak utama kepada keberkesanan tadbir urus.
Tambah beliau, kestabilan yang dicapai akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada pelaksanaan dasar jangka panjang, memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan peluang pekerjaan dan pelaburan.
Dalam masa sama, beliau menekankan integriti politik menjadi tunjang kepada keupayaan negara dalam memacu kemajuan ekonomi.
Selain reformasi institusi, Profesor Sivamuragan berpandangan pembaharuan perlu dilaksanakan seiring dengan perubahan semasa bagi memastikan kemampanan dan kelestarian dasar dapat diteruskan.
Beliau turut menegaskan kepentingan hubungan harmoni antara pihak yang merangka dan melaksanakan dasar supaya matlamat pembangunan negara dapat dicapai dengan jelas dan menyeluruh.