fb fb fb fb fb

Pemilikan bertindih, nilai terhad punca rizab Melayu berdepan cabaran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat /RTM

Kuala Lumpur, 6 Oktober- Pembangunan semula tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur terutama di kawasan Kampung Baru berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu pemilikan bertindih, nilai pasaran yang terhad serta keperluan mengekalkan warisan budaya setempat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menjelaskan, Kampung Baru bukan tanah rizab Melayu, sebaliknya kawasan yang diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (M.A.S) sejak 12 Januari 1900 bawah Enakmen Tanah 1897.

Menurut beliau, cabaran utama pembangunan tanah rizab Melayu ialah isu pemilikan tanah yang ramai, di mana satu lot kecil dimiliki hingga ratusan individu, menyebabkan kesukaran mencapai persetujuan untuk pembangunan semula.

Selain itu, nilai pasaran tanah rizab yang dianggap terhad akibat sekatan pindah milik kepada bukan Melayu.

Keadaan itu turut menjejaskan minat pelabur serta menghadkan pulangan ekonomi kepada pemilik.

Beliau turut menegaskan, sebarang pembangunan perlu seimbang dengan kemajuan fizikal dan pemeliharaan warisan budaya, khususnya di kampung tradisi yang kaya dengan identiti Melayu.

Pembangunan tanah rizab Melayu juga perlu dilaksanakan secara lestari, inklusif dan telus, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak berkaitan. 

Beliau menjawab demikian bagi soalan Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin di Dewan Rakyat.

Datuk Azman meminta penjelasan mengenai mengapa pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru menghadapi pelbagai cabaran, termasuk isu pemilikan bertindih dan nilai pasaran yang terhad.

SITI NOORAIN ABDULLAH