fb fb fb fb fb

Polis tingkat rondaan di sekolah, pantau keselamatan digital pelajar

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota polis di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha ini adalah sebahagian tindakan bersepadu yang merangkumi pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan bagi melindungi pelajar daripada ancaman siber dan salah guna peranti.

Beliau berkata, fokus turut diberikan kepada pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan kempen kesedaran keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Langkah ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi tanggungjawab nasional yang memerlukan kerjasama kerajaan, sekolah, ibu bapa dan industri teknologi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Datuk Seri Saifuddin, pihaknya akan memastikan dasar keselamatan digital disemak secara berterusan agar kekal relevan dengan perkembangan teknologi, di samping memperkukuh literasi digital dalam kalangan pelajar.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kabinet menyarankan tiga langkah utama menangani isu keselamatan sekolah, termasuk larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi membendung masalah disiplin, buli siber dan pengaruh negatif media sosial.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN