fb fb fb fb fb

Polis Sri Aman sita tujuh motosikal, keluar 29 saman

FOTO IPD SRI AMAN

SRI AMAN, 21 JULAI- Polis Sri Aman menyita tujuh buah motosikal serta mengeluarkan 29 keping saman menerusi ‘Op Motosikal’ yang dijalankan sekitar Jalan Lingga-Stumbin, di sini, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie dalam kenyataan berkata, pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi itu antaranya tiada nombor pendaftaran, tidak memiliki lesen memandu, tidak mempamerkan pelekat ‘P’ serta ubah suai ekzos atau struktur kelengkapan motosikal.

Ia hasil pemeriksaan ke atas hampir 19 buah motosikal dan 23 individu.

Mathew berkata, penahanan tujuh buah motosikal itu dibuat di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Op Motosikal yang dijalankan dari 4.30 petang hingga 8.00 malam itu melibatkan 19 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

SITI AISHAH MD ISA