fb fb fb fb fb

Polis percaya Bella masih berada di negara ini

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat

BATU PAHAT, 10 Januari- Polis percaya ibu tunggal yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu, Mira Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella, 32 tahun masih berada di negara ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan masih dijalankan dan terdapat dua tangkapan baharu dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

"Kita ada buat tangkapan dan kita telah reman mereka ini beberapa hari kemudian. Saya tidak boleh beritahu kerana kalau didedahkan, mungkin sensitif kerana siasatan sedang berjalan", katanya selepas merasmikan Balai Polis Sri Gading, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di Batu Pahat, Johor.

Terdahulu, Bella yang merupakan ibu kepada dua anak berusia empat tahun dan setahun hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Soga, Batu Pahat untuk ke kedai dobi bersama teman lelakinya, 14 Disember lalu.

Wanita itu kemudiannya gagal dihubungi sehingga hari ini.

Lima individu juga telah dipanggil termasuk teman lelakinya, 24 tahun untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, polis sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan pegawai dan anggota polis serta seorang pegawai patologi di sebuah hospital di Johor.

Beliau berkata ia susulan wujud persoalan berhubung ratusan kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran aktiviti rasuah itu.

"Ada sesetengah itu, kita telah buka kertas siasatan tatatertib atas kesalahan yang dilakukan dan pelanggaran tatatertib siasatan terhadap 33. Tidak ada mobiliti, cuma yang terlibat itu telah kita gerakkan mereka, ubah tempat kerja mereka supaya tidak lagi melakukan penugasan tersebut sehingga siasatan selesai.

Sebelum ini, hasil siasatan SPRM mendapati 33 pegawai dan penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seluruh daerah di Johor disyaki terbabit dalam merasuah ahli patologi itu sejak 2018 hingga 2022. 

ROSLINA BINTI DIN