IPOH, 23 Mei - Polis Perak mempertingkatkan kawalan keselamatan di 16 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 107 balai polis di negeri itu susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata individu yang datang berurusan di balai polis juga akan diperiksa, terlebih dahulu.
"Kita akan menambahkan anggota bertugas di sebelah malam terutamanya di bahagian pintu masuk. Kita ada pos pengawal di setiap IPD ataupun balai, kita akan pastikan mereka bertugas dengan lebih berhati-hati dan lebih peka dalam memastikan orang ramai yang datang ke IPD atau ke balai ini terutamanya melebihi pukul 10 malam ke atas akan diperiksa dengan lebih ketat lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.
Dalam kejadian awal pagi 17 Mei lalu, seorang lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang lagi tercedera sementara suspek turut ditembak mati.
Dalam insiden kedua di Pulau Pinang, seorang lelaki cuba merampas submesingan HK MP5 dari seorang anggota polis di Balai Polis Dato' Keramat pada Ahad lalu, namun gagal dan dia ditangkap pada hari sama.