PUTRAJAYA, 23 Mei - Insiden ke atas Balai Polis Ulu Tiram, pencerobohan Balai Polis Datuk Keramat, Istana Negara dan ancaman yang diterima Ahli Parlimen Seputeh baru-baru ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu disebabkan corak jenayah berbeza.
Insiden pencerobohan di Balai Polis Datuk Keramat, Pulau Pinang disebabkan perbuatan mabuk, manakala insiden cubaan pencerobohan Istana Negara adalah disebabkan oleh mimpi suspek.
"Corak jenayah bagi ketiga-tiga kes adalah berbeza, sebab yang kita tangkap di Istana Negara itu dia mimpi. Dia dapat mimpi, dan dalam mimpi itu memerintahkan untuk menghadap tuanku. Dia mimpi .
Sementara itu kes di Balai Polis Datuk Keramat, individu berkenaan mabuk, jadi ia tidak sama," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.
Merujuk kepada kepada insiden serangan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi 17 Mei lepas yang menyaksikan dua konstabel polis dan seorang suspek maut, serta penahanan dua lelaki yang cuba menceroboh Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari yang sama, dengan sebilah parang ditemukan dalam kenderaan mereka.
Pada Sabtu, polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh.
Manakala pada Ahad seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan selepas cuba merampas senjata api milik anggota polis di Balai Polis Datuk Keramat di Pulau Pinang.