DUNGUN, 23 Mei - Seorang pemandu lori warga tempatan ditahan bersama 14 tong plastik berisi 400 liter minyak diesel bernilai RM41,000 dalam serbuan Ops Tiris Tiga di sebuah stesen minyak di Paka, di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia memaklumkan serbuan yang dilakukan pada Selasa itu dilakukan empat anggota penguat kuasa KPDN cawangan Dungun menerusi risikan awal anggota.
"Modus operandi sindiket adalah dengan membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kemaman dan Paka menggunakan permit barang kawalan palsu.
"Minyak tersebut akan diisi di dalam tong plastik dan dijual semula kepada pembeli pasaran gelap di sekitar kawasan perindustrian berdekatan," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Saharuddin, sebuah lori serta beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut dan
kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam tempoh satu Januari 2024 sehingga 21 Mei 2024, lapan kes melibatkan rampasan dan sitaan berjumlah lebih 118 ribu ringgit direkodkan.