fb fb fb fb fb

Polis kelantan terima 58 laporan berkaitan pelbagai kesalahan

KOTA BHARU, 9 November- Polis Kelantan menerima sebanyak 58 laporan berkaitan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15) setakat ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada 58 laporan diterima, pihaknya hanya membuka tiga kertas siasatan.

Manakala, sebanyak 55 laporan lain telah dikesan tiada kesalahan undang-undang dan merupakan kes salah faham.

"Antara tiga kes terbabit adalah berkaitan kelulusan akademik calon yang tular.

Kes disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

"Terdapat juga kes khianat atau merosakkan bendera parti dan kes tersebut masih dalam siasatan", katanya.

Selain itu juga, terdapat kes menyebarkan dokumen pilihan raya iaitu kertas undi pos menerusi aplikasi WhatsApp yang dianggap boleh menimbulkan sesuatu yang negatif kepada sesetengah pihak.

Susulan itu, pihaknya juga telah berjaya menahan dua suspek bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kes ketiga semalam dalam satu 'group WhatsApp' telah disebarkan seseorang telah menunjukan kertas undi pos dan kita telah melihat perkara ini boleh menjejaskan sedikit sebanyak memberikan gangguan kepada masyarakat", katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.

Katanya, kes itu disiasat bawah Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Media Baharu