fb fb fb fb fb

Polis Johor tawar pengurangan saman 50%

(Foto hiasan)

JOHOR BAHRU, 30 September- Polis Johor menawarkan pengurangan bayaran saman sebanyak 50% bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pembayaran tersebut boleh dijelaskan di semua Balai Polis Trafik seluruh negeri.

Menurut rekod yang dicatatkan Polis Johor, lebih 2.2 juta saman tertunggak membabitkan pelbagai kesalahan trafik termasuk saman yang dikeluarkan kepada warga Singapura sejak 2014.

Daripada jumlah itu, 109,758 saman tertunggak membabitkan warga Singapura.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hanya 600,000 daripada hampir 2.3 juta saman dikeluarkan sudah dijelaskan sepanjang tempoh tersebut.

(Kamarul Zaman Mamat pada acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor)

Beliau turut menggesa supaya pembayar saman "mengambil peluang ini untuk hadir ke balai trafik berdekatan bagi menjelaskan saman tersebut.

"Layanan sama rata buat semua rakyat Malaysia atau rakyat Singapura atau lain-lain warganegara yang dikenakan saman. Ia perlu dijelaskan."

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama 'Brother Motor' di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas mengenai konvoi itu, Datuk Kamarul Zaman berkata, ia disertai 30 pegawai dan anggota Polis Johor yang akan menjelajah ke seluruh negeri dengan jarak 734 kilometer.

Beberapa program disusun atur sepanjang program ramah mesra dengan 'Brother Motor' termasuk memberi nasihat dan menunjukkan cara pemanduan berhemah.

Media Baharu