PUTRAJAYA, 15 Ogos- Sebanyak RM75.7 juta ringgit diperuntukkan bagi Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) kepada Pegawai Awam (Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana).
Hadiah berbentuk insentif kewangan itu akan diberi kepada kumpulan berkenaan yang memulakan dan menamatkan pengajian semasa dalam perkhidmatan dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
Ini termasuk kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian HPA itu bersifat sekali sepanjang perkhidmatan namun tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Yang ambil insiatif belanja sendiri, jadi elaun itu sendiri dikurangkan kerana nak bayar yuran pengajian. Jadi kita bagi sedikit penghargaan melibatkan peruntukan RM75.7 juta.
"Ini akan memberi manfaat kepada 91,672 pegawai awam. Inisiatif ini sebagai galakkan supaya mereka meningkatkan keupayaan atas ikhtiar dan inisiatif sendiri," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Menurut beliau, kadar HPA tersebut berjumlah RM1,250 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah kedoktoran; RM1,000 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah sarjana.
Manakala, RM750 bagi mereka yang mendapat ijazah sarjana muda; dan RM500 bagi mereka yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf.