fb fb fb fb fb

Polis jadi sasaran utama kumpulan pengganas Daesh

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Jun- Operasi risikan dan tangkapan pihak berkuasa berjaya mematahkan cubaan mengembangkan ideologi Daesh selain mengenal pasti modus operandi kumpulan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, modus operandi kumpulan itu menjadikan orang kenamaan dan pasukan polis sebagai sasaran utama yang berpotensi untuk diserang, apabila ideologi dan kepercayaan mereka tidak selari dengan pemerintahan kerajaan.

"Maka urutan keutamaan (mereka) sebagai sasaran adalah pasukan polis dalam mengalahkan sesebuah kerajaan.

"Namun hakikatnya, kita berjaya mengesan dan mematahkan gerakan (ideologi) itu, dan dalam proses perisikan dan siasatan awal kita telah establish (rumuskan) motif yang menyasarkan beberapa orang kenamaan dan pegawai tertinggi polis," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Kali ke-40 di Maktab PDRM, di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Semalam media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.

Tangkapan membabitkan enam lelaki termasuk seorang bekas pensyarah serta dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI