fb fb fb fb fb

Malaysia berada kedudukan Tier 2 laporan pemerdagangan orang Amerika Syarikat

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Kerajaan akan terus mengambil tindakan serius dalam menangani jenayah pemerdagangan orang selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) melaporkan Malaysia berada di kedudukan Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat 2024.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata peningkatan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan yang dicapai oleh kerajaan dalam memerangi jenayah itu.

Ujar beliau, kemajuan itu dicapai termasuklah peningkatan jumlah siasatan, pendakwaan dan sabitan terhadap pemerdagangan orang.

"Ini termasuk peningkatan bilangan pakar pendakwa raya pemerdagangan orang, peningkatan peruntukan bagi perlindungan mangsa, serta penambahbaikan program kesedaran awam.

"Malaysia akan memastikan pelaksanaan penuh Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Malaysia mahu rakan-rakan antarabangsa untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama dalam isu tersebut.

"Malaysia juga menyeru negara-negara asal untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mencegah rakyat mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan, serta mendakwa dan menghukum penjenayah yang terlibat di negara asal,"katanya.

Kali terakhir Malaysia dinilai berada kedudukan Tier 2 pada tahun 2017.

GRACE AISYAH KEDAYAN