fb fb fb fb fb

Polis cari saksi kemalangan maut

(Foto FB Polis Daerah Petaling Jaya)

PETALING JAYA, 23 Disember- Polis memohon bantuan orang ramai atau saksi kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di kilometer 16.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima satu laporan polis berkenaan kemalangan jalan raya membabitkan motosikal Yamaha Y15ZR pada pukul 10.28 malam, Rabu lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 19 tahun yang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan.

"Akibat daripada itu, mangsa tercampak ke seberang jalan laluan bertentangan hala selatan dan dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran atau jenis kenderaan," jelas beliau dalam satu kenyataan.

Mohamad Fakhrudin berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Ujarnya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

"Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan," katanya.

(Foto FB Polis Daerah Petaling Jaya)

Media Baharu