IPOH, 4 April- Polis membongkar makmal haram memproses dan membungkus dadah dalam dua serbuan berasingan di Pantai Remis, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hampir 80 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM5.5 juta dirampas dalam operasi tersebut.
"Hasil risikan, serbuan dilakukan kira-kira pukul 7.00 pagi Sabtu lalu. Seorang lelaki tempatan serta tiga wanita warganegara Vietnam berumur 32 hingga 39 tahun turut ditahan di sebuah rumah sewa yang dijadikan sebagai makmal dadah.
Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada hari sama, kira-kira pukul 3.30 petang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak juga membuat serbuan di sebuah rumah dipercayai digunakan sebagai tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah di kawasan Panchor," katanya dalam sidang media di sini.
(Datuk Seri Mohd Yusri menunjukkan peralatan yang dirampas dari makmal haram
pemprosesan dan pembungkusan dadah di Pantai Remis)
Tambah beliau, sindiket dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022.
Dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan.
Polis juga menyita tiga buah kenderaan, seutas rantai dan sebentuk cincin bernilai lebih RM763,000.
Keempat-empat suspek dikesan positif dadah jenis Amphetamine.
Semakan juga mendapati, suspek lelaki tempatan mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 8 April.
Kes disasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.