fb fb fb fb fb

Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak

BATU KAWAN, 14 Jun- Seorang anggota polis bantuan maut dilanggar di Jambatan Kedua Pulau Pinang kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Kejadian yang berlaku di kilometer 11.6 arah Batu Kawan menghala Batu Maung itu menyebabkan mangsa, Musyiri Bakar, 49, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami cedera parah.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar, "mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berhenti di lorong kecemasan bagi memberikan bantuan kepada pemandu kereta Perodua Viva susulan kereta tersebut mengalami kerosakan."

Bagaimanapun, sebuah lori lima tan yang dipandu lelaki berusia 26 tahun melalui jalan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pacuan empat roda yang digunakan mangsa.

Akibat pelanggaran itu mangsa yang berada di hadapan kenderaan tercampak ke lorong motosikal sebelum dilanggar penunggang lelaki berusia 34 tahun.

Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.

Norazmi memaklumkan mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan punca kematian disebabkan mengalami kecederaan parah akibat kemalangan.

Siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.

(DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar)

Media Baharu