JOHOR BAHRU, 23 Mei - Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor yang berlangsung di Toppen Shopping Centre di sini membuka tirai hari ini dengan perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3.30 petang ini.
Bertemakan “Belia MADANI, Yakin Boleh!” PMR Johor berlangsung tiga hari bermula 10 pagi hingga 9 malam kecuali Ahad, dari 10 pagi hingga 6 petang.
PMR Johor dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri.
Menariknya untuk PMR kali ini, ia berlangsung serentak dengan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri pada Ahad, seterusnya mengangkat suara dan potensi anak muda.
Selain merasmikan PMR Johor, Perdana Menteri juga akan menyampaikan Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK) serta Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) selain bersama-sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau perkhidmatan ditawarkan di reruai agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung, antaranya 24 reruai pameran kementerian, perkhidmatan terus kerajaan, sesi interaktif bersama agensi kerajaan, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya dan jualan MADANI.
Tumpuan pastinya tawaran diskaun hingga 50 peratus bagi saman trafik terpilih oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tidak ketinggalan penukaran topi keledar baharu secara percuma serta tawaran bayaran saman kompaun khas dengan kadar sama rata RM150 bagi saman sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula tempoh Oktober 2018 hingga kini oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tarikan lain PMR Johor adalah pertandingan badminton, pingpong, bola jaring, pickle ball dan catur, e-Sukan Mobile Legend, aerobikton, Temasya Komedi Rakyat serta jualan makanan viral di pekarangan pusat beli-belah itu.
Johor menjadi lokasi kedua selepas Sabah (9-11 Mei) bagi siri jelajah PMR tahun ini sebelum diteruskan di Lumut, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Lama, Kelantan; Nilai, Negeri Sembilan; Baling, Kedah; Jasin, Melaka; dan Bintulu, Sarawak.
PMR menjadi pentas strategik menyatukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kementerian, serta agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyampaikan maklumat, peluang dan khidmat secara langsung kepada rakyat.