PETALING JAYA, 23 Mei - Seramai 597 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Mentari Court, Petaling Jaya malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata operasi mega itu melibatkan seramai 390 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi dengan 1597 individu diperiksa terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan.
“Sebagaimana biasa lah ya mereka akan cuba melarikan diri. Ada yang bersembunyi di bumbung tadi pun pihak kami dan saya sendiri kita naik sampai ke bumbung atas tu.
“Ada yang tidak mahu membuka rumah ataupun bilik dan ada juga yang cuba melarikan diri. Tapi alhamdulillah kita dapat mengatasi perkara-perkara berkenaan tanpa melibatkan kemalangan," katanya semasa sidang media selepas operasi serbuan dijalankan.
Kesemua PATI ditahan berusia antara 11 hingga 59 tahun, terdiri daripada 472 lelaki dan 125 wanita, melibatkan pelbagai kewarganegaraan termasuk Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Thailand.
Antara kesalahan dikesan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, melanggar syarat pas, dan penggunaan dokumen tidak sah.
Kesemua PATI akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan.
Jafri turut memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak menggaji atau melindungi PATI kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Mana-mana individu yang melindungi atau membiarkan mana-mana PATI berada di dalam premis mereka, termasuklah tuan rumah, kita akan ambil tindakan yang tegas .
“Tindakan yang boleh kita ambil bukan setakat denda ya, tapi boleh juga melibatkan hukuman penjara dan juga sebatan,” tambahnya.
Dalam masa sama, Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut menyertai operasi berkenaan telah melaksanakan operasi bersepadu perniagaan dan penggajian warga asing di sekitar penempatan yang sama.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pihaknya bertindak pada operasi tersebut mengikut peraturan yang dibenarkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi pihak berkuasa tempatan.
Antaranya menggajikan warga asing di premis perniagaan yang tidak dibenarkan, salah guna kediaman kepada premis perniagaan dan ubahsuai kediaman kepada bilik-bilik untuk dijadikan asrama kediaman.
“Jadi di mana perniagaan premis yang tidak ada lesen dan menggajikan warga asing, jika mereka buat juga makna dia sengaja menentang melanggar peraturan.
“Kedai-kedai itulah yang kita memang akan serbu dan juga daripada risikan yang kita buat,” ujarnya.
Operasi Mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor ini turut disertai Pasukan Gerakan Am PDRM, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.