fb fb fb fb fb

Pemilihan kepimpinan baharu PKR bermula

Foto-BERNAMA

JOHOR BAHRU, 23 Mei - Pemilihan kepimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025 hingga 2028 bermula hari ini bersempena Kongres Nasional parti itu.

Proses pengundian berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, melibatkan 32,030 perwakilan secara fizikal dan dalam talian.

Undian secara fizikal diadakan di Johor Bahru, Penampang di Sabah dan Kuching, Sarawak.

Manakala undian dalam talian dibuat menerusi aplikasi ADIL.

Sebanyak 251 calon bertanding, melibatkan 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62  bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden tanpa dicabar.

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang dengan Nurul Izzah Anwar.

Sebanyak 12 pencalonan diterima bagi jawatan Naib Presiden, termasuk  empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK.

Manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Keputusan dijangka diumum seawal malam ini atau selewat-lewatnya pukul 2.30 petang esok.

Datuk Seri Anwar dijadual merasmikan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.-BERNAMA

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN