fb fb fb fb fb

PMO kecam tindakan Meta turunkan hantaran Anwar bertemu pemimpin Hamas

Foto: FB PMO Malaysia (Pejabat Perdana Menteri Malaysia)

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada Mei lalu di Instagram.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini bahagian itu berkata tindakan tersebut dilihat sebagai diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

“Sehubungan itu pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan itu yang turut dikongsikan pada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri.

Pada 14 Mei lalu, Anwar berkongsi gambar pertemuan bersama pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh di media sosial rasmi beliau, namun Meta bertindak menurunkan hantaran itu tidak lama kemudian.

Tindakan tersebut dikecam sehingga Meta bertindak memuat naik semula hantaran berkenaan.

Hari ini, media melaporkan kematian Haniyeh di Tehran, Iran dengan pihak Hamas mendakwa dilakukan oleh Israel.

ZEHRA BINTI ZAMBRI