KUALA LUMPUR, 22 Disember- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai persediaan berdepan jangkaan ketidakstabilan ekonomi tahun hadapan.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sektor berkenaan perlu diberi fokus memandangkan ia antara sektor yang menyumbang pendapatan kepada rakyat.
Bagi tujuan tersebut, kementerian akan menubuhkan satu majlis pemerkasaan usahawan PMKS bermula dari peringkat daerah.
"Perniagaan kecil-kecilan penting untuk membantu ekonomi negara dan boleh disertai oleh rakyat seperti PMKS. Inilah cara untuk mengatasi cabaran ekonomi kita.
"Di Malaysia, PMKS menyediakan 47% pekerjaan kepada rakyat. Jadi saya dan kementerian mahu ia dapat diperkasakan," katanya selepas melancarkan Super App TapTaplah oleh Koperasi Tanjung Keramat,sebuah badan koperasi yang berpusat di Putatan Sabah.
Ia merupakan aplikasi koperasi dalam talian yang pertama di Malaysia menyediakan data dan analisis bagi tujuan pemasaran serta prestasi perniagaan koperasi.
(Ewon Benedick)