fb fb fb fb fb

PM zahir penghargaan atas layanan baik Kerajaan Bahrain

Anwar Ibrahim (kanan) menghadap Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa (kiri) di Istana Sakhir hari ini/Facebook Anwar Ibrahim

MANAMA, 20 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas layanan baik Kerajaan Bahrain kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan rasmi ketika ini.

Beliau yang menghadap Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir di sini hari ini menyifatkan hubungan akrab antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan baginda sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh kerjasama dua hala.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima jemputan menghadap Raja Bahrain sebagai penutup lawatan rasminya.

Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, mereka membincangkan pelbagai isu berkaitan pelaburan dan perdagangan bagi memperkukuh hubungan dua negara.

Anwar turut menyatakan visi dan kebijaksanaan Raja Hamad dalam memimpin pertumbuhan Bahrain menjadi inspirasi baginya untuk terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan Raja Hamad dan rakyat Bahrain serta berharap hubungan erat antara kedua-dua negara terus diperkukuh.

SITI AISHAH MD ISA