fb fb fb fb fb

PM umum peruntukan RM100 juta untuk Program Anak Kita

Perasmian Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor / FOTO RTM

HULU SELANGOR, 27 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Program Anak Kita.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran video sempena ucapan perasmian Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Jelas Datuk Seri Anwar, peruntukan itu diberikan bagi tidak membebankan tanggungjawab Kementerian Pendidikan yang sedia ada.

“Saya harap kemudahan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ibu bapa harus punyai tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana guru-guru bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa yang tercicir.

“Anak-anak harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tidak ada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula," katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar lagi program tersebut merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan.

Jelasnya, keciciran bukan perkara yang baru, tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar tatkala Malaysia berdepan permasalahan pasca COVID-19.

Sementara itu, Fadhlina Sidek memaklumkan Kementerian Pelajaran (KPM) memperkenalkan Program Anak Kita bagi mengatasi isu keciciran pembelajaran di negara ini.

Inisiatif itu melibatkan 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah di enam buah negeri; Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, ia merupakan salah satu inisiatif bidang keutamaan kerajaan bawah fokus Reformasi Pendidikan yang direka khusus untuk menangani masalah keciciran pembelajaran di negara ini.

Tambah beliau program itu merangkumi tiga aspek iaitu Program 3M bagi Sekolah Rendah, Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Sekolah Menengah dan Program Murid Cicir melibatkan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Bagi Program 3M, sejumlah 53,252 adalah melibatkan murid pemulihan khas iaitu Tahun 2 hingga 6 di 1,288 sekolah.

Program SPM pula melibatkan 10,000 murid Tingkatan 5 di 1,500 sekolah menengah dan 20,000 murid Tingkatan 4 di 600 sekolah menengah.

Manakala Program Murid Cicir pula melibatkan 500 murid cicir di 50 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE