ALOR SETAR, 27 September- Seramai empat nelayan warga Thailand yang bekerja atas bot pukat tunda zon C tempatan ditahan kerana disyaki telah menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Payar dan perairan sekitar pulau tersebut.
Bot tersebut ditahan oleh lima anggota Pangkalan Utama Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kuala Kedah di perairan berhampiran Pulau Payar, semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Pang Nyukang berkata, bot tersebut ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 8 (b) dan Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat yang ditetapkan dalam lesen serta menangkap ikan dalam kawasan taman laut.
Beliau berkata, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM500,000 telah disita.
Turut disita adalah hasil tangkapan ikan sebanyak 200 kilogram.
“Kes ini telah diserah kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchur untuk siasatan lanjut," katanya.
Pang mengingatkan para nelayan agar tidak mengambil mudah usaha pihak jabatan menjaga dan mengawasi perairan taman laut daripada dicerobohi.
Perairan taman laut dijaga sebaik mungkin agar sumber perikanan negeri ini terus dapat dipertingkatkan dan hasil sumber perikanan ini akan melimpah ke seluruh kawasan perairan negeri Kedah.
Hasil peningkatan sumber perikanan ini akan dapat dimanfaatkan oleh 7,609 orang nelayan di negeri itu.
Kegiatan pencerobohan nelayan ke kawasan perairan taman laut akan menggagalkan segala usaha pihak jabatan dalam menguruskan sumber perikanan secara mapan.
Pang juga menyeru kepada semua nelayan agar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak jabatan agar sumber perikanan ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.