KUALA LUMPUR, 11 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang dibuat oleh seorang bekas mejar Jeneral Thailand berhubung perjanjian damai Thailand-Kemboja.
Beliau turut menegaskan bahawa Perdana Menteri Thailand sendiri tidak pernah mempersoalkan peranan Malaysia dalam rundingan itu.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau masih berhubung rapat dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja.
"Panglima Angkatan Tentera kita sedang berunding balik, sebab perjanjian dia apa, saya ada hafal perjanjian itu, undur dari perbatasan dan selesaikan masalah letupan yang berlaku kerana periuk api. Itu dalam proses.
"Saya hanya membantu menyelaraskan dan memohon perdamaian, dia yang tentukan parameters, bukan kita yang letakkan syarat dia. Arau perlu faham ini. Bukan saya tetapkan syarat-syarat perdamaian.
"Kita hanya bantu menyelaraskan dan yang bersetuju itu kedua-duanya. Kalau ada pelanggaran, maka timbul masalah", tegas Datuk Seri Anwar.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa di Dewan Rakyat.
Pada Isnin, Thailand mengumumkan penangguhan pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dengan negara jiran, Kemboja berhubung pertikaian sempadan hanya dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut di Kuala Lumpur.
Pengumuman Thailand itu dibuat selepas beberapa askar cedera akibat letupan periuk api berhampiran sempadan Kemboja.