BANDA HILIR, 11 November - Kerajaan Negeri Melaka melalui Institut Tun Perak (ITP) mewujudkan sistem baru yang dikenali sebagai Sistem Umum dan Analitik Rakyat (SUARA).
Ia merupakan satu sistem pungutan data awam secara elektronik yang dilengkapi dengan keupayaan analitik masa nyata.
Exco Sains, Teknologi Dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, melalui sistem tersebut kerajaan negeri dapat mengumpul pandangan dan maklum balas rakyat secara sistematik sebelum diterjemahkan bagi penambahbaikan dasar dan perkhidmatan.
"Ianya satu e-survey yang boleh digunakan oleh semua rakyat Melaka oleh agensi kerajaan, oleh institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), industri untuk mereka menggunakan sistem ini secara percuma.
"... dengan syarat berkolaborasilah dengan ITP dan UPEN. Data-data ini akan diselenggarakan oleh ITP sendiri dan akhirnya mengolah data itu menjadi satu tindakan yang boleh diambil dan juga memberi manfaat kepada rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Konvensyen Data Raya Negeri Melaka 2025 di Banda Hilir, Melaka.
Beliau menyeru agar semua jabatan dan agensi menggunakan sistem SUARA sebagai platform rasmi bagi sebarang kaji selidik untuk memastikan data diurus secara bersepadu bagi kesejahteraan rakyat.