TAIPING, 16 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau pelaksanaan projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau (LMS) fasa dua.
Ketibaan beliau pada pukul 12.20 tengah hari diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sebelum diberi taklimat mengenai projek berkenaan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail.
Pembinaan fasa kedua itu melibatkan jajaran sepanjang 6.6 kilometer yang menghubungkan Kampung Anak Kurau ke laluan A7 (Jalan Taiping–Selama), dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.
Datuk Seri Anwar diberi taklimat mengenai projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau fasa dua oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026.
Kerja-kerja utama meliputi pembinaan dua buah jambatan, pemotongan cerun, pembaikan sistem saliran serta turapan jalan.
Apabila siap kelak, jalan baharu itu dijangka mampu mengurangkan jarak perjalanan penduduk Kampung Anak Kurau sebanyak 15.4 kilometer dan menjimatkan masa perjalanan kira-kira 15 minit untuk ke Bandar Kamunting.