SEPANG, 1 Disember - Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao tiba di sini hari ini untuk mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Xanana Gusmao dan delegasi mendarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.16 malam.
Ketibaan Xanana Gusmao disambut oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Menerusi lawatan kerja ini, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.
Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala, serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan.
Pelbagai kerjasama akan dibincangkan antaranya bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal dan pendidikan.
Selain itu, pertemuan itu juga menjadi platform kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah berkenaan pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Timor-Leste bagi pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.
Keputusan Timor-Leste menghadiahkan tanah adalah sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang diberikan Malaysia sejak sebelum kemerdekaan negara itu.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua buah negara.
Xanana Gusmao juga dijadualkan mengadakan kunjungan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut Wisma Putra, lawatan itu dilihat dapat mempertingkat usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan baik dan mesra yang dinikmati selama ini serta membuktikan sokongan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota Penuh ASEAN.