ROM, 2 Julai-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Rom, Itali bagi memulakan lawatan kerja tiga hari.
Pesawat membawa Perdana Menteri dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Leornado da Vinci pukul 8.20 malam waktu tempatan.
Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Duta Besar Malaysia ke Itali; Datuk Zahid Rastam, Duta Kanan Hal Ehwal Protokol Itali; Fabrizio Romano dan bekas Duta Besar Itali ke Malaysia; Massimo Rustico.
Lawatan berkenaan merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke negara itu atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.
Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Meloni di Istana Chigi, Rom pada 3 Julai.
Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Asia Barat.
Pertemuan itu turut bakal memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.