fb fb fb fb fb

Integrasi program SULAM SMMTC pemangkin Projek Transformasi Changloon

Foto UUM

SINTOK, 2 Julai – Pelaksanaan program Perkhidmatan Pembelajaran Malaysia-Universiti untuk Masyarakat atau SULAM oleh 82 mahasiswa Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), memberi impak positif kepada 19 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan pemilik perniagaan di sekitar Kubang Pasu.

Menerusi program “SULAM.BComm Komunikasi Strategik untuk Peniaga Daerah Kubang Pasu 2025”, mahasiswa ditugaskan untuk menyediakan Pelan Komunikasi Strategik bagi membantu usahawan IKS dan pemilik perniagaan terlibat mengembangkan perniagaan melalui satu pelan komunikasi inovatif.

Penasihat Program, Prof. Dr. Norhafezah Yusof berkata, SULAM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermatlamat meningkatkan keterlibatan universiti dengan komuniti melalui pemindahan pengetahuan yang dapat membantu memperkasakan masyarakat.

“Program SULAM.Bcomm menjadi platform kepada 82 mahasiswa Program Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian, untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan berkaitan komunikasi dengan terlibat dalam proses pemindahan pengetahuan kepada komuniti. Ini kerana, mahasiswa perlu membentangkan pelan komunikasi masing-masing kepada perniagaan untuk dinilai sama ada bersesuaian atau tidak dengan perniagaan mereka. Sesi tersebut membolehkan usahawan dan pemilik perniagaan memahami dan seterusnya melaksanakan Pelan Komunikasi Strategik yang menyokong pencapaian visi dan misi perniagaan masing-masing,” jelas beliau.

Sebelum menghasilkan pelan komunikasi strategik tersebut, mahasiswa perlu bekerjasama rapat dengan pengusaha bagi mengenal pasti isu-isu yang dihadapi berkaitan komunikasi.

Ini kerana, ada pengusaha menjalankan perniagaan dengan lancar tetapi berdepan masalah meningkatkan lagi perniagaan disebabkan kekangan seperti isu pengiklanan, masalah komunikasi dalaman dan komunikasi strategik syarikat.

“Jadi, mahasiswa akan mendalami serta mengkaji permasalahan tersebut dan seterusnya mengemukakan pelan perancangan strategi komunikasi yang bersesuaian bagi mengatasi isu dihadapi usahawan IKS dan pemilik perniagaan ini. Pelan Komunikasi Strategik itu kemudian dibentangkan untuk dinilai oleh usahawan dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) sama ada menepati keperluan perniagaan atau tidak. Pembangunan komuniti setempat adalah jiwa kepada pelaksanaan program SULAM ini. Ia memberi impak besar bukan sahaja kepada mahasiswa tetapi membolehkan satu kerjasama erat dibina melibatkan warga UUM dan komuniti peniaga Kubang Pasu. Ia menjadi satu model pembelajaran berasaskan pengalaman kepada mahasiswa terutama berkaitan dunia kerjaya sebenar yang akan ditempuhi selepas tamat pengajian di UUM,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang usahawan, Nur Hafizah Mohd Yusof yang mengusahakan perniagaan restoran berkata, kertas cadangan dikemukakan memperlihatkan kreavtiviti mahasiswa memanfaatkan ilmu diperoleh dari bilik kuliah dan teknologi digital untuk meningkatkan keterlihatan perniagaan peserta.

Bagi seorang usahawan automotif, Mohd Faisal Mohd Yunus pula melihat kerjasama strategik UUM melalui projek SULAM ini mempunyai impak besar terhadap usaha pemberdayaan komuniti melalui pemindahan ilmu pengetahuan.

“Program-program SULAM ini sangat bermanfaat kepada komuniti di Kubang Pasu dan kawasan sekitar kerana ia memberi kami satu pendedahan terhadap penggunaan teknologi dalam meningkatkan jenama perniagaaan kami. Kami melihat cadangan-cadangan yang diberikan oleh mahasiswa ini boleh dipraktikkan dalam usaha kami mengembangkan perniagaan. Pelan komunikasi yang dikemukakan bertepatan dengan ekosistem pemasaran digital yang diguna meluas pada hari ini sama ada dalam perniagaan dan sektor-sektor lain,” katanya.

Pelancaran program SULAM pada 2019 oleh KPT merupakan salah satu langkah transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) peringkat pengajian tinggi ke arah lebih berkesan dengan konsep pembelajaran berasaskan perkhidmatan dan projek.

Ia memberi peluang kepada mahasiswa meneroka dan mengaplikasi ilmu dalam konteks menyelesaikan masalah dunia sebenar yang dihadapi sesebuah komuniti dan membentuk peribadi mahasiswa menjadi lebih berdikari.

Dinamika dan potensi program SULAM ini menjadikannya sebagai salah satu pemangkin kepada kemajuan pelaksanaan Projek Transformasi Changloon (CTP) yang dilancarkan UUM pada Januari tahun ini.

Selain itu, pelaksanaan “SULAM.BComm Komunikasi Strategik untuk Peniaga Daerah Kubang Pasu 2025” turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dari segi Pendidikan Berkualiti, Pekerjaan Memuaskan dan Pertumbuhan Ekonomi, Industri, Inovasi dan Infrastruktur serta Perkongsian untuk Matlamat.

Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Masnita Misiran melihat pelaksanaan program-program di bawah SULAM setakat ini, dapat memberi impak yang diharapkan kepada usaha menjayakan CTP.

“UUM mempunyai 16 pusat pengajian yang mempunyai kepakaran tersendiri untuk pelaksanaan program SULAM yang mampan dan berimpak tinggi. Ia sangat sesuai digembleng dan diselaraskan untuk menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa komuniti Changloon di bawah CTP.

"Dengan cara ini, UUM berjaya mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada melalui SULAM untuk menjayakan CTP. Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada komuniti tetapi turut memperkasa mahasiswa itu sendiri apabila mereka boleh menyumbang kepada perubahan sebenar komuniti, membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan rasa pemilikan terhadap masa depan komuniti. Kesedaran inilah yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat berpengetahuan” jelas Dr. Masnita.

Pemindahan pengetahuan kepada komuniti ini merupakan salah satu mekanisme bagi membolehkan inisiatif CTP mencapai matlamat iaitu memperkasa komuniti menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran progresif di pelbagai peringkat usia.

Pelaksanaan program kepada komuniti di Changloon dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.

Bagi tahun pertama hingga lima, rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan, keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.

Manakala, bagi tahun keenam hingga sepuluh pula, CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changloon.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD