fb fb fb fb fb

PM tiba di Jakarta, hadiri upacara angkat sumpah Prabowo esok

Foto PMO

JAKARTA, 19 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, malam ini bagi menghadiri upacara mengangkat sumpah Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia yang baharu, esok.

Datuk Seri Anwar tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur pada pukul 6.00 petang waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin selain Menteri Pelaburan Indonesia, Rosan Roeslani.

“Ini adalah detik penting bagi kedua-dua negara. Selain memenuhi undangan daripada kerajaan Indonesia, lawatan kerja Perdana Menteri akan mengukuhkan hubungan dua hala dan memperkasakan kerjasama ASEAN, yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun hadapan,” kata Syed Md Hasrin.

Anwar diberikan sambutan permaidani merah serta kawalan kehormatan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia di lapangan terbang ketika nyanyian lagu kebangsaan dimainkan.

Beliau akan menyertai 20 ketua negara asing dan wakil lain pada majlis pelantikan yang berlangsung di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Ahad, bermula pada pukul 10.00 pagi waktu tempatan.

Pemimpin yang mula tiba sejak Jumaat akan mengambil bahagian dalam majlis pelantikan bersejarah itu, di mana Prabowo akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden kelapan Indonesia.

Sebagai pemenang pilihan raya presiden 2024, presiden terpilih Prabowo dan naib presiden terpilih Gibran Rakabuming Raka akan menggantikan Joko Widodo dan Ma’ruf Amin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM