(Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong
di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing/BERNAMA)
BEIJING, 30 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Beijing, China kira-kira 4.28 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing.
Beliau diringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Perdana Menteri disambut Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong dan Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Beijing/BERNAMA)
Beliau akan memulakan program pertama di Beijing hari ini dengan majlis berbuka puasa yang akan dihadiri lebih 200 rakyat Malaysia di China dan delegasi Malaysia.
Esok, jadual padat bakal menanti Perdana Menteri melibatkan program bersama pelajar Malaysia di Universiti Tsinghua.
Beliau dijadual akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Beijing Dongsi.
Pada hari sama juga, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, TYT Xi Jinping di Great Hall of People.
Perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil di dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala.
Ia kemudian disusuli dengan kunjungan hormat oleh Pengerusi National People's Congress, TYT Zhao Leji.
Beliau juga akan menghadiri majlis iftar yang dianjurkan oleh Malaysia-China Chamber of Commerce pada 31 Mac, yang bakal dihadiri para pemimpin komuniti Islam di China dan tokoh-tokoh korporat Malaysia.
Untuk rekod, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun lalu adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021.
Jumlah eksport ke China meningkat sebanyak 9.4 peratus berjumlah RM210.62 bilion, manakala jumlah import dari China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus dengan jumlah RM276.50 billion berbanding tahun sebelumnya.
Manakala, nilai pelaburan dari China bernilai RM9.6 billion yang telah membuka peluang-peluang pekerjaan kepada 6,193 orang pada tahun 2022.