SEREMBAN, 30 Mac- Pengumuman kerajaan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) hingga tahun 2024 mendapat respons positif masyarakat.
Menurut penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, langkah tersebut dapat menggalakkan lebih ramai ibu bapa membuat pelaburan awal untuk pendidikan anak-anak di samping mendapat manfaat melalui pengecualian cukai pendapatan terhadap simpanan bersih pendeposit.
Ujarnya, pengecualian cukai yang diberikan dapat menambah jumlah simpanan dalam SSPN serta mengurangkan kebergantungan pada pinjaman pendidikan.
Dalam masa sama memanfaatkan simpanan yang dibuat untuk pendidikan anak pada masa hadapan.
(Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan berkata keputusan lanjutkan pelepasan cukai SSPN
dialu-alukan)
"Maka ini dapat meningkatkan lagi pemberian insentif kepada rakyat Malaysia untuk terus menabung menyimpan wang ke dalam akaun SSPN. Juga untuk memberikan mereka keupayanan untuk membayar kos pendidikan yang kita lihat pada waktu sekarang ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan menggalakkan penabungan pendidikan dan mendorong pendidikan sebagai keutamaan untuk membaiki kualaiti sumber manusia di Malaysia," kata Nuradli Ridzwan.
Sementara itu, orang awam yang ditemui turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan pelepasan cukai tersebut sekali gus menggalakkan lebih ramai ibu bapa terus menabung untuk pendidikan anak mereka.
"Ini merupakan salah satu kelegaan kepada golongan seperti saya M40. Bagi kami ia meringankan bebanan dan tekanan sebab dapat pelepasan pembayaran SSPN sekurang-kurangnya dalam kedaan ekonomi yang tidak menentu, tekanan sara hidup yang tinggi ni kami dapat juga meneruskan caruman untuk pendidikan anak-anak," kata orang awam, Malini Md Yunus.
"Saya sebagai bapa amat berterima kasih kepada kerajaan kerana pelepasan cukai SSPN kepada anak-anak saya yang belajar di universiti. Ia dapat membantu golongan seperti saya B40 untuk meringankan beban membayar cukai yang berlebihan daripada SSPN," kata seorang lagi orang awam, Sapar Sutir.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN dibuat selepas kerajaan mendengar keresahan disuarakan golongan yang terkesan.