SIMPANG EMPAT, 30 Mac - Operasi bersepadu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) bersama Jabatan Kesihatan Negeri, polis dan Majlis Perbandaran Kangar di empat premis mendapati masih ada penjual makanan yang tidak mematuhi arahan.
Menurut Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, dalam operasi di Kangar dan Arau, enam kesalahan dikesan pihaknya iaitu tiga kes melibatkan menjual makanan dan minuman secara terbuka sebelum waktu ditetapkan, dua kes melibatkan individu yang tidak berpuasa secara terbuka dan satu kes bersubahat dengan individu tidak berpuasa.
"Tindakan yang boleh dikenakan berdasarkan kepada enakmen jenayah dalam syarak 1991 itu, bagi kesalahan pertama mereka ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 dan penjara tidak lebih dua tahun, sekiranya kesalahan berulang, maka tindakan yang dikenakan ialah denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun," kata beliau selepas mengetuai operasi bersepadu sekitar Arau, Sanglang dan Kuala Perlis, di sini hari ini.
(Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim)
Tumpuan utama operasi tersebut adalah terhadap premis yang menjual makanan dan minuman secara terbuka sebelum waktu ditetapkan, individu tidak berpuasa, kebersihan premis dan pelesenan perniagaan.
Operasi bersepadu berkenaan juga akan dilaksanakan di sekitar Simpang Empat dan Padang Besar melibatkan lebih 20 pegawai dan anggota penguat kuasa.